Semakin Berilmu Tentang Allah Maka Semakin Takut Untuk Bermaksiat Kepada-Nya

Tadabbur Al-Quran Siri # 7

fathir 35-28

 

Tajuk: Hanya Ulama’ Yang Akan Benar-Benar Takut Kepada Allah, Kerana Semakin Berilmu Tentang Allah Maka Semakin Takut Bermaksiat Kepada-Nya

Ayat: Fathir 35 : 28

Allah berfirman:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah diantara hamba-hamba-Nya hanyalah Ulama’. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Pengampun” (Surah Fathir : 35 : 28)

Ibnu Kathir berkata:

أي إنما يخشاه حق خشيته العلماء العارفون به لأنه كلما كانت المعرفة للعظيم القدير العليم الموصوف بصفات الكمال المنعوت بالأسماء الحسنى كلما كانت المعرفة به أتم والعلم به أكمل كانت الخشية له أعظم وأكثر

“Iaitu, yang merasa takut kepada-Nya dengan sebenar-benar rasa takut hanyalah para Ulama’ yang memiliki pengetahuan tentang Dia. Ini adalah kerana, setiap kali bertambah pengetahuan tentang Dia Yang Maha Agong, Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui, maka semakin bertambah pula rasa takutnya. Setiap kali pengetahuan dan pemahamannya tentang Allah yang disifati dengan sifat-sifat sempurna dan diiringi dengan Nama-Nama yang baik (Asmaul Husna) lebih sempurna, maka rasa takut kepada-Nya menjadi lebih agong dan lebih sempurna pula”

(Tafsir al-Quranul ‘Azhim, oleh Ibnu Kathir, Fathir : 28)

‘Ali bin Abi Thalhah berkata, menuturkan perkataan dari Ibnu ‘Abbas berkaitan dengan firman Allah diatas, beliau berkata:

الذين يعلمون أن الله على كل شيء قدير

“Iaitu mereka yang mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu”

Juga dari Ibnu ‘Abbas, beliau berkata:

العالم بالرحمن من عباده من لم يشرك شيئا وأحل حلاله وحرم حرامه وحفظ وصيته وأيقن أنه ملاقيه ومحاسب بعمله

“Syarat bagi seseorang itu dikatakan Alim tentang Allah Yang Maha Pengasih diantara hamba-hamba-Nya adalah (1) Tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun (2) Menghalalkan apa yang Dia halalkan (3) Mengharamkan apa yang Dia haramkan (4) Menjaga dan memelihara tuntutan wasiat-Nya dan (5) Meyakini bahawa Dia akan menjumpainya dan menghisab amal perbuatannya”

Sa’id bin Jubair berkata:

الخشية هي التي تحول بينك وبين معصية الله عز وجل

“Perasaan takutlah yang menjadi penghalang antara dirimu dengan perbuatan maksiat kepada Allah”

Al-Hasan al-Basri berkata:

العالم من خشي الرحمن بالغيب ورغب فيما يرغب اللهفيه وزهد فيما سخط الله فيه ثم تلا الحسن « إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

“Ulama’ adalah orang yang takut kepada Allah Yang Maha Penyayang, walaupun dia tidak melihat-Nya. Dia menyukai apa yang disukai oleh Allah, dan menahan diri dari apa yang dimurkai oleh-Nya.” Kemudian al-Hasan al-Basri membaca ayat ini:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاء إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah diantara hamba-hamba-Nya hanyalah Ulama’. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Pengampun” (Surah Fathir : 35 : 28)

Sufyan ats-Tsauri meriwayatkan dari Ibnu Hayyan at-Taimi, dari seorang lelaki, dia berkata: “Dahulunya dikatakan bahawa Ulama’ itu terbahagi kepada tiga jenis:

  1. Orang yang alim tentang Allah dan juga alim tentang perintah-Nya, ialah orang yang takut kepada Allah dan mengetahui hudud (batasan-batasan) dan kewajipan-kewajipan.
  2. Orang yang alim tentang Allah tetapi tidak alim tentang perintah-Nya, ialah orang yang takut kepada Allah tetapi tidak mengetahui hudud (batasan-batasan) dan kewajipan.
  3. Orang yang alim tentang perintah Allah, tetapi tidak alim tentang Allah, ialah orang yang mengetahui hudud (batasan-batasan) dan kewajipan-kewajipan tetapi tidak takut kepada Allah.

(Tafsir al-Quranul ‘Azhim, oleh Ibnu Kathir, Fathir : 28)

 

Advertisements

Jangan Berkata-Kata Tanpa Ilmu

Tadabbur Al-Quran Siri # 5

al-isra' 17-36

Tajuk: Jangan Berkata-Kata Tanpa Ilmu, Kerana Setiap Anggota Badan Kita Akan Diminta Untuk Bertanggungjawab Terhadapnya

Ayat: al-Isra’ 17: ayat 36

Allah berfirman:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabnya ” (al-Isra’ 17: ayat 36)

Jangan Berbicara Tanpa Ilmu

‘Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas radiyallahu anhu berkata berkenaan “وَلاَ تَقْفُ”, iaitu maksudnya: “Jangan kamu mengatakan”

Berkenaan ayat diatas, Al-Aufi berkata maksudnya: “Dan jangan kamu menuduh seseorang yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya”

Muhammad Ibnul Hanafiyyah pula berkata: “Maksudnya adalah larangan memberikan kesaksian palsu”

Qatadah berkata bahawa maksudnya:

لا تقل رأيت ولم تر وسمعت ولم تسمع وعلمت ولم تعلم فإن الله تعالى سائلك عن ذلك كله

“Janganlah kamu mengatakan bahawa aku melihat sedangkan kamu tidak melihat, aku mendengar sedangkan kamu tidak mendengar, aku mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya. Kerana sesungguhnya Allah akan bertanya semua itu kepadamu”

Ibnu Kathir pula berkomentar berkenaan ayat ini, beliau mengatakan:

ومضمون ما ذكروه أن الله تعالى نهى عن القول بلا علم بل بالظن الذي هو التوهم والخيال كما قال تعالى « اجْتَنِبُوا كَثِيراً مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

“Kesimpulan dari apa yang mereka sebutkan diatas, bahawa sesungguhnya Allah melarang mengatakan sesuatu dengan tanpa ilmu, bahkan berdasarkan persangkaan, yang ianya hanya dari agakan dan khayalan, seperti firman Allah:

اجْتَنِبُوا كَثِيراً مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

“Jauhilah kebanyakkan dari persangkaan, sesungguhnya sebahagiaan persangkaan itu adalah dosa” (al-Hujuraat 49:12)

(Tafsir al-Quranul ‘Azhim, oleh Ibnu Kathir, al-Isra’ 17: 36)

Dari Abu Hurairah dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

“Jauhilah prasangka, kerana sesungguhnya prasangka adalah ucapan yang paling dusta, dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan, dan janganlah kalian saling menghendap-hendap, dan janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling membelakangi, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR al-Bukhari)

Disebutkan didalam Sunan Abi Dawud, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

بِئْسَ مَطِيَّةُ الرَّجُلِ: زَعَمُوا

“Seburuk-buruk kenderaan yang ditunggangi seseorang adalah apabila berkata: “Mereka menyangka” (Sahih. HR Abu Dawud, lihat Sahihul Jami’ no 2846)

Disebuah hadis lain disebutkan bahawa, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ أَفْرَى الْفِرَى أَنْ يُرِيَ الرَّجُلُ عَيْنَيْهِ مَا لَمْ تَرَيَا

“Sesungguhnya perbuatan menga-adakan yang paling dusta, adalah ketika seseorang mengaku melihat sesuatu dengan kedua matanya, sedangkan ia tidak melihatnya” (HR al-Bukhari no. 7043)

Begitu juga disebutkan didalam Sahih Bukhari, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ تَحَلَّمَ حُلْمًا كُلِّفَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَنْ يَعْقِدَ بَيْنَ شَعِيرَتَيْنِ وَلَيْسَ بِفَاعِل

“Barangsiapa yang mengaku bermimpi, sedangkan ia tidak bermimpi, maka di hari Kiamat dia akan disuruh untuk mengikat satu biji gandum dengan satu biji gandum yang lain, dan dia tidak dapat melakukannya” (HR al-Bukhari no. 7042)

Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini “كُلُّ أُولـئِكَ” (semuanya itu) didalam ayat diatas, dengan berkata: “Iaitu pendengaran, penglihatan dan hati”

Beliau juga menafsirkan ayat ini “كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً” (akan diminta pertanggung jawabnya), beliau berkata: “Maksudnya adalah setiap hamba akan ditanya pada hari Kiamat tentang tiga nikmat itu, untuk apa semuanya dipergunakan.

(Tafsir al-Quranul ‘Azhim, oleh Ibnu Kathir, al-Isra’ 17: 36)